Thursday, March 17, 2011

SURAH AL BAQARAH


2. SURAH AL BAQARAH.

Merupakan surah terpanjang sekali dalam surah-surah Al Quran. Mengandungi 286 ayat, terdiri dari hampir-hampir tiga juzu’, iaitu juzu’ pertama, kedua dan 3/8 dari juzu’ ketiga.

Surah Al Baqarah diturunkan di Madinah sebaik sahaja Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu ummah di dalam sebuah Negara merdeka yang di dalamnya terdapat orang-orang Islam serta sebahagian kecil orang bukan Islam iaitu orang yahudi dan lain-lainnya.

Bagi memenuhi kehendak orang-orang Islam yang baru mendapat sebuah Negara itu yang memerlukan hukum-hukum syarak untuk mengatur hidup supaya selamat sempurna dan memandu usaha mengembangkan syiar Islam maka turunlah ayat-ayat suci dalam surah Al-Baqarah ini dari semasa kesemasa menurut peristiwa-peristiwa yang berlaku memenuhi maksud dan tujuan tersebut.

Kandungan surah Al-Baqarah ini umumnya terbahagi kepada dua bahagian :

2.1. Dalam bahagian yang pertama – kecuali dalam beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menerangkan kebenaran Al Quran, dan menerangkan sifat-sifat orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah yang maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia dan alam langit dan bumi , dan tentang balasan baik (nikmat syurga) dan balasan buruk (azab neraka) dan juga tentang Nabi Adam (a.s) serta keingkaran iblis; - mulai ayat 39, firman Allah ditujukan kepada kaum musyrik, Arab dan Yahudi supaya mereka memeluk Islam dengan beriman kepada kitab Allah Al Quran dan kepada RasulNya Nabi Muhammad (s.a.w)

2.2 Dalam bahagian kedua pula dengan cara yang meluas diterangkan hukum-hukum syarak bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi Ibadat (sembahyang, zakat,, puasa, haji dan jenis-jenis kebajikan; Muamalat – berjual beli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya; nikah kahwin – talak dan segala yang berhubung dengannya; Jinayat serta soal-soal umum yang lain.

Dalam Sahih Muslim ada satu hadis yang maksudnya : “Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat( kebaikan yang banyak) dan membiarkannya (mencuaikan) menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa; dan orang-orang yang membiarkan diri dalam keadaan batil (yang salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya”.        

Sunday, March 13, 2011

Surah Al-Fatihah


Surah ini dinamakan “AL FATIHAH” (Pembuka atau yang mula-mula). Ia juga dinamakan “Ummul Al Quran” dan “Ummul Kitab” (Ibu kitab suci), kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al Quran diturunkan untuk menerangkannya satu persatu, iaitu :

1.     Menetapkan ujudnya Allah azza wajalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana tersebut dalam firmanNya  “Alhamdulillah hirabbil alamin”.

2.     Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al Jalaal(Kebesaran) dan sifat-sifat Al    Kamaal (Kesempurnaan), sebagaimana tersebut dalm firmanNya “Alrahim”.

3.     Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagaimana tersebut dalam firmanNya “Malikiyaumiddin” supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari nikmat hidup di dunia dan kelazatan semata-mata.

4.     Menerangkan tugas yang kerananya manusia dicipta oleh Allah Taala sebagaimana tersebut dalam firmanNya “Iya kanakbudu” sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak, dan mensucikan jiwa. Dengan Iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik, dan jiwa yang suci, berhasillah kebahagiaan manusia – kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya .

5.     Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah Taala dan dengan izinNya, sebagaimana disebut dalam “Waiya kanastaain” .

6.     Menerangkan perkara utama yang dihajati dan dipohonkan daripada Allah Taala ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan, dan cara melaluinya, sebagaimana disebutkan dalam firmanNya “Ihdinassiratolmustaqim”. Kerana telah sedia ada berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya juga banyak, berbilang-bilang, dan lain-lain disebabkan berlainnya tabiat, adat, dan hawa nafsu yang beraneka ragam.

7.     Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia dalam keadaan yang selamat dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga “Darussalam”.
Surah ini juga dinamakan “As-sab’u’ul-Mathani (Tujuh ayat yang diulang-ulang ) bacaan nya dalam sembahyang yang berbilang-bilang rakaat , atau (tujuh dasar yang diulang-ulang ) huraian nya didalam Al Quran.

Rasulullah (s.a.w) pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang bermakna “Tidak ada di dalam kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti “Ummul Quran” .

Demikianlah kelebihan Surah Al-Fatihah yang diwajibkan kepada orang yang mengerjakan sembahyang membacanya sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam jika ia tidak musafir.