Thursday, March 17, 2011

SURAH AL BAQARAH


2. SURAH AL BAQARAH.

Merupakan surah terpanjang sekali dalam surah-surah Al Quran. Mengandungi 286 ayat, terdiri dari hampir-hampir tiga juzu’, iaitu juzu’ pertama, kedua dan 3/8 dari juzu’ ketiga.

Surah Al Baqarah diturunkan di Madinah sebaik sahaja Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu ummah di dalam sebuah Negara merdeka yang di dalamnya terdapat orang-orang Islam serta sebahagian kecil orang bukan Islam iaitu orang yahudi dan lain-lainnya.

Bagi memenuhi kehendak orang-orang Islam yang baru mendapat sebuah Negara itu yang memerlukan hukum-hukum syarak untuk mengatur hidup supaya selamat sempurna dan memandu usaha mengembangkan syiar Islam maka turunlah ayat-ayat suci dalam surah Al-Baqarah ini dari semasa kesemasa menurut peristiwa-peristiwa yang berlaku memenuhi maksud dan tujuan tersebut.

Kandungan surah Al-Baqarah ini umumnya terbahagi kepada dua bahagian :

2.1. Dalam bahagian yang pertama – kecuali dalam beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menerangkan kebenaran Al Quran, dan menerangkan sifat-sifat orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah yang maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia dan alam langit dan bumi , dan tentang balasan baik (nikmat syurga) dan balasan buruk (azab neraka) dan juga tentang Nabi Adam (a.s) serta keingkaran iblis; - mulai ayat 39, firman Allah ditujukan kepada kaum musyrik, Arab dan Yahudi supaya mereka memeluk Islam dengan beriman kepada kitab Allah Al Quran dan kepada RasulNya Nabi Muhammad (s.a.w)

2.2 Dalam bahagian kedua pula dengan cara yang meluas diterangkan hukum-hukum syarak bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi Ibadat (sembahyang, zakat,, puasa, haji dan jenis-jenis kebajikan; Muamalat – berjual beli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya; nikah kahwin – talak dan segala yang berhubung dengannya; Jinayat serta soal-soal umum yang lain.

Dalam Sahih Muslim ada satu hadis yang maksudnya : “Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat( kebaikan yang banyak) dan membiarkannya (mencuaikan) menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa; dan orang-orang yang membiarkan diri dalam keadaan batil (yang salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya”.        

No comments:

Post a Comment