Surah ini dinamakan “AL FATIHAH” (Pembuka atau yang mula-mula). Ia juga dinamakan “Ummul Al Quran” dan “Ummul Kitab” (Ibu kitab suci), kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al Quran diturunkan untuk menerangkannya satu persatu, iaitu :
1. Menetapkan ujudnya Allah azza wajalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana tersebut dalam firmanNya “Alhamdulillah hirabbil alamin”.
2. Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al Jalaal(Kebesaran) dan sifat-sifat Al Kamaal (Kesempurnaan), sebagaimana tersebut dalm firmanNya “Alrahim”.
3. Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagaimana tersebut dalam firmanNya “Malikiyaumiddin” supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari nikmat hidup di dunia dan kelazatan semata-mata.
4. Menerangkan tugas yang kerananya manusia dicipta oleh Allah Taala sebagaimana tersebut dalam firmanNya “Iya kanakbudu” sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak, dan mensucikan jiwa. Dengan Iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik, dan jiwa yang suci, berhasillah kebahagiaan manusia – kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya .
5. Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah Taala dan dengan izinNya, sebagaimana disebut dalam “Waiya kanastaain” .
6. Menerangkan perkara utama yang dihajati dan dipohonkan daripada Allah Taala ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan, dan cara melaluinya, sebagaimana disebutkan dalam firmanNya “Ihdinassiratolmustaqim”. Kerana telah sedia ada berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya juga banyak, berbilang-bilang, dan lain-lain disebabkan berlainnya tabiat, adat, dan hawa nafsu yang beraneka ragam.
7. Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia dalam keadaan yang selamat dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga “Darussalam”.
Surah ini juga dinamakan “As-sab’u’ul-Mathani (Tujuh ayat yang diulang-ulang ) bacaan nya dalam sembahyang yang berbilang-bilang rakaat , atau (tujuh dasar yang diulang-ulang ) huraian nya didalam Al Quran.
Rasulullah (s.a.w) pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang bermakna “Tidak ada di dalam kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti “Ummul Quran” .
No comments:
Post a Comment